Tajuk Status Semasa Isu Produk Makanan Dari Negara Taiwan Yang Tercemar Dengan Maleic Acid
Penerangan

 

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 

KENYATAAN AKHBAR KELAPAN 

 

STATUS SEMASA ISU PRODUK MAKANAN DARI NEGARA TAIWAN YANG TERCEMAR DENGAN MALEIC ACID 

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini mengenai pemantauan makanan dari Taiwan yang tercemar dengan maleic acid.

 

Terkini, pihak Food and Drug Administration (FDA) Taiwan telah mengambil tindakan menarik balik dan melupuskan semua produk makanan yang tercemar dengan maleic acid dari pasaran Taiwan. Di samping itu, semua pembekal makanan berasaskan kanji di Taiwan perlu mengemukakan surat akuan atau sijil analisa kepada penjual produk makanan keluaran syarikat mereka mengesahkan produk makanan mereka bebas maleic acid. Pemantauan berterusan juga dijalankan ke atas semua jenis makanan yang dihasilkan di Taiwan dan semua pengeksport produk makanan dikehendaki mematuhi keperluan negara pengimport termasuk mengemukakan sijil analisis untuk mengesahkan produk mereka bebas maleic acid.

 

Sehubungan dengan itu, KKM akan menarik balik penggantungan import ke atas 23 produk makanan yang dilaporkan tercemar dengan maleic acid berkuatkuasa 1 Julai 2013.  Walau bagaimanapun, semua produk makanan berasaskan kanji dari Taiwan termasuk 23 produk berkaitan masih perlu mengemukakan sijil analisis daripada makmal yang diiktiraf oleh FDA Taiwan mengesahkan bahawa produk tersebut bebas dari maleic acid.

 

Dalam pada itu, KKM masih meneruskan pemantauan ke atas produk makanan Taiwan di pintu masuk serta yang telah berada di pasaran tempatan. Orang ramai tidak perlu khuatir akan keselamatan makanan yang diimport dari Taiwan memandangkan kawalan telah dikenakan ke atas makanan terbabit dari negara tersebut.

 

Sekiranya pengguna perlu maklumat lanjut, hubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM di talian 03-88833652 / 88833653 atau laman web http://fsq.moh.gov.my.

 

 

NORAINI BT. DATO’ MOHD. OTHMAN

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan

Kementerian Kesihatan Malaysia

28 Jun 2013

 

Ditambah pada 28-06-2013 04:00:00

Lampiran-lampiran