Tajuk | Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan - Pencapaian Tindakan Penguatkuasaan Dan Perundangan Di Bawah Undang-Undang Kesihatan Awam Bagi Bulan Disember, 2011 |
---|---|
Penerangan | KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
PENCAPAIAN TINDAKAN PENGUATKUASAAN DAN PERUNDANGAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG KESIHATAN AWAM BAGI BULAN DISEMBER, 2011 ________________________________________________________
Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia, dan ini termasuklah mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam demi kepentingan kesihatan awam.
Bagi bulan Disember, 2011 kami ingin memaklumkan hasil dan tindakan penguatkuasaan kesihatan awam.
1). Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan kawalan wabak denggi, sejumlah 955 kompaun yang bernilai RM 418,250.00 telah dikeluarkan dengan purata RM 437.95 tiap kompaun. Sejumlah 123 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah, dan dalam masa yang sama sebanyak 51 kes telah disabitkan kesalahan termasuk 1 kes di penjara sehari dan sejumlah RM 17,590.00 denda dikenakan, iaitu purata RM 344.90 tiap denda. Manakala bagi tempoh Januari sehingga Disember tahun 2011 keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah sejumlah 13,806 yang bernilai RM 6,049,679.00. Sejumlah 1,934 kes telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama 549 kes telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah di mana sejumlah RM 230,504.00 denda telah dikenakan termasuk 1 kes di penjara.
2). Melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 3,189 lawatan pemeriksaan sejumlah 1,359 notis kesalahan dikeluarkan dan dalam masa yang sama 1,032 kesalahan telah dikompaun sebanyak RM 214,290.00 dengan nilai purata RM207.64 tiap kompaun. Manakala bagi tempoh Januari sehingga Disember tahun 2011, daripada 60,254 lawatan pemeriksaan, sejumlah 23,906 notis kesalahan dikeluarkan dan dalam masa yang sama sebanyak 13,241 kesalahan telah dikompaun dengan nilai RM2,974,785.00.
Adalah dimaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan adalah pilihan terakhir yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan perlaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum.
Sekian dan terima kasih.
DATO’ SRI DR. HASAN BIN ABDUL RAHMAN Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 22 Januari 2012 |
Ditambah pada | 25-01-2012 04:00:00 |