Tajuk | Pencapaian Tindakan Penguatkuasaan Dan Perundangan Di Bawah Undang-Undang Kesihatan Awam Bagi Bulan Ogos 2012 |
---|---|
Penerangan | KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
PENCAPAIAN TINDAKAN PENGUATKUASAAN DAN PERUNDANGAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG KESIHATAN AWAM BAGI BULAN OGOS 2012 ________________________________________________________
Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia, dan ini termasuklah mengambil tindakan penguatkuasaan dan perundangan di bawah undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam.
Bagi bulan Ogos 2012, berikut dimaklumkan hasil dan tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam.
1. Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan wabak denggi, sejumlah 814 kompaun bernilai RM 407,000.00 telah dikeluarkan dengan purata RM 500 tiap kompaun. Sejumlah 196 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 40 kes telah disabitkan kesalahan dengan sejumlah RM 11,480.00 denda dikenakan, iaitu purata RM 287.00 tiap denda. Manakala bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak 12,393 dengan nilai RM 5,573,815.00. Sejumlah 1,283 kes telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama 514 kes telah disabitkan kesalahan dimana sejumlah RM 170,660.00 denda telah dikenakan.
2. Melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 4,223 lawatan pemeriksaan sejumlah 1,203 notis kesalahan dikeluarkan dan dalam masa yang sama 899 kesalahan telah dikompaun sebanyak RM 285,990.00 dengan nilai purata RM318.12 tiap kompaun. Bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini, sejumlah 20,760 notis kesalahan dikeluarkan dan dalam masa yang sama sebanyak 11,335 kesalahan telah dikompaun dengan nilai RM 2,548,578.00.
Adalah dimaklumkan, tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan perlaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum.
Sekian dan terima kasih.
DATO’ SRI DR. HASAN BIN ABDUL RAHMAN Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 24hb. September 2012 |
Ditambah pada | 25-09-2012 04:00:00 |