Tajuk | Maklumat Terkini Isu Produk Makanan Yang Dijual Di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) |
---|---|
Penerangan |
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA KENYATAAN AKHBAR MAKLUMAT TERKINI ISU PRODUK MAKANAN YANG DIJUAL DI KEDAI RAKYAT 1MALAYSIA (KR1M)
Perjumpaan pegawai dari KKM bersama Tony Pua dan Nurul Izzah pada hari ini mendapati tujuh (7) produk makanan yang dibangkitkan adalah berkaitan dengan pelabelan dan aspek komposisi produk, dan bukan keselamatan makanan.
Empat (4) daripada tujuh (7) produk makanan yang dibangkitkan adalah berkaitan aspek pelabelan, manakala tiga (3) produk makanan lagi adalah berkaitan dengan aspek komposisi produk.
Perjumpaan tersebut dihadiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, dan pegawai-pegawai KKM yang lain sepertimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Ketujuh-tujuh produk makanan yang dibangkitkan oleh Tony Pua telah dibincangkan dan persetujuan telah dicapai seperti berikut:
Isu 1: Susu tumbesaran Tony Pua telah mengakui bahawa beliau telah tersilap kira di mana beliau telah mentafsir berat bagi setiap sudu (scoop) adalah 30g. Berdasarkan verifikasi yang dijalankan oleh KKM, berat 1 sudu Susu Tepung Tumbesaran KR1M sebenarnya bersamaan dengan 7.5g. Ini bermakna 4 sudu susu tersebut adalah bersamaan dengan 30.0g. Maka pengambilan maksimum sebanyak 4 kali sehari adalah bersamaan 120g susu tersebut.
Perjumpaan bersetuju bahawa produk tersebut adalah tergolong di bawah Peraturan 395 iaitu makanan yang tidak distandardasikan di tempat lain.
Isu 2: Ais Krim Pengilang tidak menyatakan nama sebutan sebenar produk pada label iaitu konfeksi ais.
Isu 3: Jem buah-buahan Kandungan buah-buahan di dalam jem buah-buahan campuran mematuhi dari segi peratus kandungan buah tetapi label jem buah-buahan campuran tidak tepat kerana tidak menyatakan buah-buahan yang digunakan di dalam jem tersebut sebagai ramuan.
Isu 4: Susu sejat Produk tersebut sebenarnya adalah krimer sejat tetapi dilabel sebagai susu sejat di dalam Bahasa Malaysia. Walau bagaimanapun nama sebutan sebenar produk tersebut dalam Bahasa Inggeris adalah betul.
Isu 5: Krimer pekat manis Mematuhi kandungan lemak tetapi tidak mematuhi peratus pepejal bukan gula.
Isu 6: Tin ikan sardin 3 daripada 5 sampel ikan sardin dalam tin 155g adalah kurang daripada 55% kandungan ikan mengikut standard yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Isu 7: Tin kari ayam Nama sebutan sebenar pada label tidak menyatakan kehadiran kentang di dalam produk tersebut.
KKM telah memaklumkan kepada Tony Pua bahawa tindakan telah diambil ke atas kesemua produk makanan yang dibangkitkan sebelum perjumpaan ini diadakan.
Semasa perjumpaan tersebut, KKM telah menjelaskan bahawa KKM menjalankan pemeriksaan ke atas pengilang yang membekalkan produk makanan ke KR1M untuk mengesahkan formulasi produk, bahan-bahan mentah, proses pengeluaran, kawalan mutu dan validasi produk akhir.
Sebagai langkah tambahan, KKM juga telah menjalankan pengesahan ke atas produk akhir tersebut dengan mengambil sampel makanan untuk dianalisis.
Dalam perjumpaan tersebut, KKM telah menegaskan agar semua aduan atau maklumat berhubung isu keselamatan dan kualiti makanan dapat disalurkan terus kepada KKM untuk membolehkan KKM mendapat maklumat yang tepat dan seterusnya mengambil tindakan dengan segera. Tindakan menyiarkan aduan terus di media massa hanya akan memberi peluang kepada peniaga untuk menarik balik produk dari pasaran dan mengganggu siasatan oleh KKM.
KKM sebagai Competent Authority bagi keselamatan makanan akan terus memantau produk yang dijual di KR1M bagi memastikan ia mematuhi perundangan makanan di negara ini.
KKM akan memaklumkan perkembangan terkini hasil pemantauan produk KR1M dari masa kesemasa. KKM sentiasa mengutamakan kesihatan rakyat dan tidak akan berkompromi ke atas keselamatan makanan serta akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar perundangan makanan.
DATO’ SRI DR. HASAN BIN ABDUL RAHMAN Ketua Pengarah Kesihatan
2 Disember 2011
|
Ditambah pada | 01-12-2011 04:00:00 |