Penerangan |
PRESS RELEASE
KENYATAAN AKHBAR
Y.B. MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
MENGENAI INSIDEN NUKLEAR AKIBAT KEJADIAN
GEMPABUMI DAN TSUNAMI DI JEPUN
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
20 Mac 2011, 6.00 petang
KEADAAN DI JEPUN
- Kabel untuk bekalan elektrik telah disambungkan ke Unit 1 dan 2 loji kuasa nuklear di Stesen Fukushima Daiichi dan pembekalan elektrik dijadualkan bermula esok di mana air akan dapat dipam secara automatik. Buat masa ini, air masih dipam menggunakan tangki bomba.
- Pengukuran yang dibuat oleh Pasukan Pemonitoran Sinaran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di 7 lokasi berasingan di Tokyo, Kanagawa dan Chiba menunjukkan kadar yang jauh lebih rendah dari nilai yang membahayakan manusia.
- Bacaan sinaran telah dikesan di dalam susu dan bayam yang terhasil di sekitar Fukushima dan Ibaraki dan pihak Jepun telah memulakan arahan larangan pengeksportan produk-produk ini. Dalam masa yang sama, IAEA, Food and Agriculture Organization (FAO) dan kerajaan Jepun meneruskan perbincangan berhubung tindakan pengawalan yang diambil.
- Berdasarkan ramalan oleh pusat-pusat tindak balas kecemasan persekitaran di bawah Pertubuhan Meteorologi Sedunia, bagi tempoh sehingga 22 Mac 2011, pergerakan bahan cemar adalah ke arah timur/timurlaut dan barat daya dari Negara Jepun menghala ke Lautan Pasifik. Namun pihak IAEA menjelaskan bahawa
kebanyakan bahan cemar adalah bergerak kepada arah timur dan jumlah yang bergerak ke arah barat daya adalah kecil. Untuk tempoh tersebut sebarang pencemaran jika ada, tidak mungkin sampai ke Malaysia.
TINDAKAN OLEH MOSTI:
- MOSTI, meneruskan usaha memantau secara aktif keadaan insiden nuklear di Jepun dan impak kepada negara kita melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Meteorologi Malaysia.
- Pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di 6 lokasi seluruh Malaysia (Chuping, Ipoh, Sri Aman, Kuantan, Kudat dan Senai) diteruskan dan masih menunjukkan paras normal di mana data pada 1.00 petang, 20 Mac 2011 adalah 0.028 hingga 0.175 mikro Sievert per jam. Paras ini masih merupakan bacaan normal untuk Malaysia.
- Langkah berjaga-jaga melalui Sistem Pemonitoran Portal (Radiation Portal Monitors –RPMs) yang sememangnya telahpun dipasang di KLIA sejak 2009, juga menunjukkan paras normal dan tiada sebarang pencemaran dikesan. Pegawai AELB dan Nuklear Malaysia turut berada di lapangan terbang utama yang menerima pesawat dari Jepun untuk melakukan saringan kedua (pemonitoran individu), yang akan dibuat hanya jika terdapat bacaan yang melebihi kadar yang dibenarkan (0.5 mikro Sievert).
- Namun demikian, mana-mana penumpang yang ingin mendapatkan khidmat pemonitoran cemaran radioaktif lebih lanjut, bolehlah memohon kepada pegawai AELB yang sedang bertugas di KLIA dan LCCT.
- Buat masa ini, AELB berpendapat orang awam tidak perlu melakukan pengesanan sinaran untuk mengesan pencemaran kerana situasi di Malaysia masih berada di tahap normal dan terkawal. Walau bagaimanapun, sekiranya orang awam ingin melakukan pemonitoran individu, AELB bersedia untuk melakukannya secara percuma. AELB telah membuka kemudahan perkhidmatan pengesanan sinaran ke atas individu bermula dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari di Ibu Pejabat AELB, Batu 24, Jalan Dengkil, Selangor Darul Ehsan bermula 20 Mac 2011.
- Dari segi keselamatan makanan, merujuk pada kenyataan akhbar tempatan pada 20 Mac 2011 berkaitan pencemaran bahan radioaktif dalam susu dan bayam di negara Jepun yang melebihi had di bawah undang-undang Jepun, mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia tidak mengimport kedua-dua produk tersebut dari Jepun berdasarkan maklumat dari Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) di bawah KKM. Menurut maklumat dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga, Malaysia tidak mengimport susu dari Jepun sejak tahun 2010 kerana risiko penyakit kaki dan mulut pada ternakan lembu di negara tersebut.
- Sebagai langkah berjaga-jaga, KKM telah mengenakan Pemeriksaan Tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas terhadap produk makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan hasilan ikan serta hasilan daging dan sebagainya yang diimport dari Jepun. Sampel makanan diambil dari setiap konsainmen makanan dari Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif di Agensi Nuklear Malaysia. Nuklear Malaysia, yang melakukan perkhidmatan pengesanan bahan radioaktif di dalam makanan. Sehingga kini, sebanyak 16 sampel telah dianalisis dan didapati kesemuanya mematuhi tahap kandungan bahan radioaktif yang dibenarkan.
- Pengguna tidak perlu khuatir dengan makanan yang dijual di pasaran dan yang diimport. KKM akan sentiasa memantau keselamatan produk makanan dari masa ke semasa termasuk produk makanan yang diimport dari negara Jepun
- MOSTI menasihatkan sekali lagi kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak bimbang dan tidak mempercayai khabar-khabar angin dari sumber yang tidak berasas.
- Bagi sebarang pertanyaan, bolehlah dirujuk kepada Pusat Maklumat Radiologi AELB melalui talian Hotline 1 800 88 7999 atau di 03-8922 5848 atau melalui emel di MNR-Customer@aelb.gov.my
- Maklumat teknikal boleh di perolehi di laman web di
a) Laman Web IAEA (www.iaea.org)
b) Laman Web MOSTI (www.mosti.gov.my)
c) Laman Web AELB (www.aelb.gov.my)
d) Laman Web Nuklear Malaysia (www.nuclearmalaysia.gov.my)
e) Laman Web Kementerian Kesihatan Malaysia (www.moh.gov.my)
f) Laman Web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (http://fsq.moh.gov.my) |