Tajuk | Situasi Terkini Pemantauan Makanan Dari Negara Jepun |
---|---|
Penerangan |
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA SITUASI TERKINI PEMANTAUAN MAKANAN DARI NEGARA JEPUN
1. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi terkini hasil pemantauan makanan yang diimport dari Jepun lanjutan dari insiden logi nuklear akibat kejadian gempabumi dan tsunami di Jepun. KKM telah mengenakan Pemeriksaan Tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas di bawah Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) di pintu-pintu masuk bermula 16 Mac 2011 terhadap semua makanan yang diimport dari Jepun ke negara ini. Setiap konsainmen makanan yang diimport dari negara tersebut hanya akan dibenarkan dijual di pasaran tempatan sekiranya didapati mematuhi tahap radioaktif yang dibenarkan. 2. Sehingga kini, sebanyak 38 sampel yang telah dianalisis bagi kandungan bahan radioaktif meliputi ikan dan hasilan ikan, sayur-sayuran serta hasilan susu dan didapati kesemuanya mematuhi tahap kandungan bahan radioaktif yang dibenarkan. Maklumat mengenai hasil pemantauan makanan yang diimport dari Jepun boleh didapati di laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM iaitu http://fsq.moh.gov.my. 3. KKM ingin memaklumkan bahawa pengguna tidak perlu khuatir dengan keselamatan makanan yang diimport dari Jepun. KKM akan memantau secara berterusan keselamatan makanan yang diimport dari Jepun.
DATO’ SRI LIOW TIONG LAI MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
29 Mac 2011 |
Ditambah pada | 28-03-2011 04:00:00 |