Tajuk | Status Terkini Siasatan Kejadian Wabak Meliodosis Dan Leptospirosis Di Kalangan Petugas Mencari Dan Menyelamat Kejadian Lemas Di Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran, Pahang | ||
---|---|---|---|
Penerangan |
KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
STATUS TERKINI KEJADIAN WABAK MELIOIDOSIS DAN LEPTOSPIROSIS DI KALANGAN PETUGAS MENCARI DAN MENYELAMAT KEJADIAN LEMAS DI PUSAT REKREASI LUBUK YU, MARAN, PAHANG Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan status terkini berkaitan dengan wabak penyakit Melioidosis dan Leptospirosis di kalangan penyelamat mangsa lemas di Pusat Rekreasi Lubuk Yu di daerah Maran, Pahang pada 26 Jun 2010.
Sehingga hari ini, 14 Julai 2010, dari enam (6) kes yang dimasukkan ke hospital sebelum ini, dua (2) orang telah di benarkan balik ke rumah (discharge). Dua (2) kes baru yang disyaki (suspected) di kalangan 110 anggota penyelamat yang terdiri daripada penyelamat awam dan sukarelawan dimasukkan ke hospital. Kesemua enam (6) kes tersebut yang berada di hospital termasuk satu (1) kes di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang berada dalam keadaan stabil.
Ujian makmal keatas sampel air mengesahkan kehadiran bakteria Leptospira. Sementara itu aktiviti saringan yang dijalankan di kawasan kampung berdekatan dengan tempat kejadian mengesan enam (6) penduduk kampung yang demam dan kesemua mereka dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjutan. Kesemua mereka berada dalam keadaan stabil. Walau bagaimanapun kesemua enam pesakit tersebut tidak terlibat dalam aktiviti menyelamat mangsa lemas secara langsung dan oleh itu risiko jangkitan Leptospirosis dan Melioidiosis adalah rendah.
Kementerian ingin menegaskan bahawa jangkitan Leptospirosis dan Melioidiosis tidak boleh menular dari seorang ke seorang. Oleh itu masyarakat tidak perlu panik kerana ia tidak boleh tersebar di dalam komuniti. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, jangkitan ini terjadi apabila seseorang terdedah kepada air atau tanah yang tercemar oleh bakteria tersebut. Oleh itu, mereka yang menghadapi masalah luka di kulit di saran tidak mendedahkan diri mereka kepada air yang dikhuatiri tercemar dengan najis tikus seperti sungai-sungai di taman-taman rekreasi. Kebersihan di tempat-tempat berkenaan dan juga dipersekitaran rumah perlu juga sentiasa dijaga supaya tidak menarik perhatian perumah haiwan ini dan mencemari air dan tanah serta mendatangkan risiko jangkitan.
Sekian dan terima kasih. TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Tarikh: 14 Julai 2010 |
||
Ditambah pada | 14-07-2010 04:00:00 | ||