MyGov Portal
SearchFunction
Privacy Policy
feedbackform
PDPA
Broadcast
Pengenalan Kami
Berita
Soalan Lazim
Pekeliling
Hubungi Kami
Multilang
Sitemap
W3C Disability Accessibility
Number of Online Services
Freedom of Information
Online E-Participation
image
Tetapan Semula Menukar kontras kepada cerahMenukar kontras kepada asalMenukar kontras kepada gelapKecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T

bm en

Print
Tajuk Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Mengenai Situasi Semasa Novel Coronavirus, Yang Juga Dikenali Sebagai Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV)
Penerangan

 

image

 

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

MENGENAI SITUASI SEMASA NOVEL CORONAVIRUS, YANG JUGA DIKENALI SEBAGAI MIDDLE EAST RESPIRATORY SYNDROME CORONAVIRUS (MERS-CoV)

 

Kemunculan Novel Coronavirus, yang juga kini dikenali sebagai Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) adalah merupakan kejadian kecemasan kesihatan awam yang kritikal, bukan hanya bagi negara-negara yang terlibat tetapi juga terhadap masyarakat dunia secara keseluruhannya. Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula melaporkan mengenainya pada September 2012. Sehingga 5 Jun 2013, sejumlah 54 kes MERS-CoV yang disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan dari seluruh dunia, meliputi 30 kematian.  

 

MERS-CoV adalah merupakan salah satu ahli keluarga (strain) dari kumpulan coronavirus. Ia merupakan kumpulan keluarga virus yang besar dan terdiri dari pelbagai strain yang boleh menjangkiti manusia dan juga haiwan. SARS yang pernah menggemparkan dunia pada 2003, merupakan salah satu dari strain coronavirus tersebut. Namun begitu, MERS-CoV dan SARS adalah dua strain coronavirus yang berbeza di antara satu dengan yang lain dan adalah diingatkan agar tidak menggunakan istilah SARS-like Virus kerana ia suatu kenyataan yang mengelirukan dan berpotensi untuk menimbulkan situasi panik.

 

Pada ketika ini beberapa negara di rantau Timur Tengah melaporkan kes MERS-CoV dan negara-negara tersebut adalah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Qatar dan Tunisia. Begitu juga dengan beberapa negara dari rantau Eropah, iaitu Itali, Jerman, Perancis dan United Kingdom. Bagi kes yang dilaporkan dari Tunisia dan negara-negara rantau Eropah, mereka samada mempunyai sejarah lawatan ke rantau Timur Tengah atau sejarah kontak dengan pelawat yang bergejala sejurus pulang dari lawatan ke Timur Tengah.

 

Gejala utama yang dikesan dalam kalangan kes MERS-CoV merupakan jangkitan respiratori yang berlaku secara akut dan serius, iaitu demam dan kesukaran untuk bernafas. Kebanyakan kes mengalami radang paru-paru dan terdapat juga sebahagian kes yang dikesan dengan gejala gastrointestinal seperti cirit birit. Bagi individu yang menghidapi penyakit kronik dan kurang daya tahan jangkitan (immunocompromised), gejala jangkitan mungkin berlaku dalam bentuk yang tidak lazim (atypical).

 

Punca jangkitan (source of infection) dan cara jangkitan (mode of transmission) bagi jangkitan MERS-CoV ini masih lagi belum dapat dikenalpasti. Pihak WHO juga menegaskan bahawa tahap penularan jangkitan tersebut secara keseluruhannya tidak diketahui dan tiada vaksin untuk MERS-CoV pada ketika ini. 

 

Sejak kejadian MERS-CoV berlaku pada September 2012, aktiviti pemantauan dan pencegahan yang sewajarnya termasuk pemantauan ke atas jemaah haji musim haji 2012M/1433H telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sehingga kini tiada kes yang dikesan menghidap jangkitan tesebut. Sebagai langkah-langkah kesiapsiagaan menghadapi kejadian jangkitan MERS-CoV di negara ini, pihak KKM telah mempertingkatkan langkah-langkah pemantauan dan pencegahan termasuk mempertingkatkan saringan demam di Pintu Masuk Antarabangsa dan pemantauan terhadap kejadian jangkitan respiratori di seluruh negara. KKM juga telah meningkatkan keupayaan pihak hospital untuk menerima dan merawat kes yang disyaki serta keupayaan pihak makmal untuk menjalankan ujian pengesahan kes.

 

Sebagai persediaan bagi musim haji akan datang (2013M/1434H) pula, KKM dengan kerjasama pihak Lembaga Tabung Haji, akan menjalankan pemantauan terhadap status kesihatan jemaah haji sebelum berlepas, sepanjang tempoh mereka berada di Tanah Suci dan selepas pulang      ke tanahair. Pasukan Perubatan Haji yang bertugas di Tanah Suci dan jemaah haji yang bakal mengerjakan ibadah haji musim haji 2013M/1434H akan diberikan pendidikan kesihatan berkaitan penyakit ini dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil di samping memberi penekanan mengenai penjagaan kesihatan diri.

 

Buat masa ini, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalananan (travel advisory) atau mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat. Walau bagaimanapun, khusus untuk orang awam yang ingin mengerjakan umrah, mengerjakan haji bagi musim haji 2013M/1434H atau mengadakan lawatan ke mana-mana negara di rantau Timur Tengah yang kini melaporkan kejadian jangkitan MERS-CoV, pihak KKM ingin menasihatkan mengenai perkara-perkara berikut:

 

i)     Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman;

 

ii)    Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu;

 

iii)  Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari menjamah makanan mentah atau tidak dimasak dengan sepenuhnya, menjamah buah-buahan mahupun sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu atau  meminum minuman yang menggunakan bekalan air tidak terawat;

 

iv)  Mereka yang pulang dari lawatan ke negara-negara yang terlibat, khususnya negara di rantau Timur Tengah dengan gejala jangkitan respiratori (seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak) adalah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (mask). Jika gejala yang dialami berterusan dan menjadi bertambah teruk, segera dapatkan rawatan perubatan serta maklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.

 

KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan dari pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KKM akan terus berhubung dengan pihak WHO untuk memantau situasi terkini MERS-CoV, seterusnya mengambil langkah pencegahan dan kawalan sebagaimana yang disarankan.                     

 

Sekian dan terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

6 Jun 2013

 

Ditambah pada 06-06-2013 04:00:00

Lampiran-lampiran