Tajuk | Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Bil.3/2010 Operasi Penguatkuasaan Di Premis Larangan Merokok dan Orang Belum Dewasa Yang Merokok | |||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Penerangan |
KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Bil.3/2010 Operasi Penguatkuasaan Di Premis Larangan Merokok dan Orang Belum Dewasa Yang Merokok Pada 10 Ogos 2010, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan satu lagi operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 peringkat kebangsaan yang memberi tumpuan terhadap kesalahan merokok di premis Larangan Merokok di bawah peruntukan Peraturan 11, PPKHT 2004. Operasi ini turut mensasarkan orang belum dewasa yang merokok, membeli atau memiliki rokok dengan melakukan pemeriksaan ke kawasan tumpuan mereka selepas sesi persekolahan.
Daripada 2,112 buah premis yang telah diperiksa, 296 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM 64,900.00. Daripada jumlah tersebut, 170 kes merupakan kesalahan merokok di kawasan larangan merokok di mana 39 kes dikesan di stesyen bas, 35 di mahkamah, 33 di kompleks membeli belah, 23 di stesyen minyak, 18 di hospital dan klinik, 15 di premis kerajaan, 5 di lapangan terbang dan bakinya di pusat hiburan. Seramai 88 orang belum dewasa telah dikompaun kerana kesalahan merokok atau memiliki rokok dan 74 daripada mereka ditangkap di luar kawasan sekolah. Selain daripada itu, 11 orang peniaga telah dikompaun di atas kesalahan menjual rokok kepada orang belum dewasa dan bakinya 27 kompaun adalah di atas pelbagai kesalahan lain. Pecahan hasil operasi adalah seperti di Lampiran 1.
Mana-mana orang yang melakukan kesalahan merokok di premis larangan merokok di bawah Peraturan 11, PPKHT 2004 akan dikompaun sebanyak RM 250.00 dan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari. Sekiranya mereka gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang dinyatakan, kes akan didaftar di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM 10,000.00 atau dipenjara sehingga tempoh 2 tahun.
Bagi orang belum dewasa yang melakukan kesalahan merokok atau memiliki rokok di bawah Peraturan 13, PPKHT 2004 akan dikompaun sebanyak RM 50.00 dan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari. Sekiranya mereka gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang dinyatakan, tindakan mahkamah akan diambil dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM 1,000.00.
Kementerian Kesihatan Malaysia akan meneruskan operasi penguatkuasaan PPKHT peringkat kebangsaan secara bertema ini dari masa ke semasa bagi melindungi kesihatan orang awam serta meningkatkan kesedaran golongan perokok supaya menghormati hak orang lain yang tidak merokok khasnya di tempat-tempat yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.
Dalam tempoh Januari hingga Jun 2010, sebanyak 29,206 buah premis telah diperiksa oleh penguatkuasa kesihatan awam dengan 10,699 notis kesalahan telah dikeluarkan, iaitu meningkat 67% berbanding tempoh yang sama tahun 2009 (6,410), sebanyak 5,668 kompaun juga telah dikeluarkan iaitu meningkat 35% berbanding tempoh yang sama 2009 (3,454). Disamping itu, sebanyak 3,468 kes telah didaftar ke mahkamah dengan 319 orang telah dijatuhkan hukuman dengan nilai denda berjumlah RM 65,800.00.
Orang ramai yang ingin membuat laporan tentang kesalahan merokok boleh menghubungi talian Infoline KKM 03-88834400 atau mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran.
Terima kasih. (TAN SRI DATO’ SERI DR. HAJI MOHD ISMAIL MERICAN) Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
18 Ogos 2010
Lampiran 1
HASIL OPERASI PENGUATKUASAAN PPKHT 2004 DI KAWASAN LARANGAN MEROKOK DAN ORANG BELUM DEWASA YANG MEROKOK
|
|||||||||||||||||||||||
Ditambah pada | 19-08-2010 04:00:00 | |||||||||||||||||||||||